Saturday, June 14, 2025

Dunia Hiburan Kita: Seni yang Hilang Atau Sekadar Kejar Trending?

Dulu, hiburan adalah pantulan budaya dan suara masyarakat. Tapi hari ini? Lebih ramai kejar viral berbanding nilai.

Artis Atau Algoritma? 

Dulu: nak jadi penyanyi, kau kena ada suara, kau kena pergi berlatih, ambil pengalaman. Tapi sekarang, kalau muka glowing dan buat drama sikit , automatik kau akan masuk TV. Padahal suara boleh buat orang tutup telinga...

Bakat? Tolak tepi. Asalkan kau trending, “booking untuk jemputan event penuh sayang…”

Rancangan Realiti? Realiti Ke Ranjau Murahan? 

Semua stesen nak ada reality show. Tapi makin hari makin:

Scripted. Ayat ayat yang keluar dari mulut semuanya tiada faedah, mengarut, dan putar belit. 

Murahan. Bukan boleh nafi lagi, kadang rating tinggi sebab semua nya pakai baju tak cukup kain, kamera pun asyik fokus bahagian tak sepatutnya. Lagi sakit, perempuan dan lelaki pegang tngan, peluk macam tiada maruah !

Drama lebih dari bakat. Satu episod konon cari “bintang baru”  tapi fokus kamera 70% zoom muka juri gaduh. Yang peserta, jadi latar je.

Gosip Jadi Matawang 

Kalau takde karya, cipta skandal. Lepas tu menangis atas pentas, buat video minta maaf . BOOM! viral. Followers naik, job masuk. Macam-macam “penebusan” yang kita tengok, padahal perangai sama je lepas tu.

“Saya manusia biasa…” Tapi ulang perangai luar biasa 😭

Aestetik Over Autentik 

Kenapa makin ramai artis kita semua “klon wajah TikTok filter”? Hidung satu bentuk. Dagu tajam. Kulit flawless macam plastik. Mana pergi wajah asli, identiti tempatan?

Bila semua artis muka sama, suara pun auto-tune , penonton pun makin susah nak beza seni dan saringan.

Muzik Untuk Jiwa, Atau Muzik Untuk Dance Challenge?

Zaman dulu: lirik lagu menyentuh hati. Lagu rakyat, lagu perjuangan, lagu cinta yang dalam.

Sekarang: lagu 1 minit chorus catchy , itu pun sebab nak masuk TikTok. Lirik? Takpe asal ada “uh uh yeah baby~” Yang penting boleh buat #dancechallenge 💃

Seni hilang, dilawan oleh algoritma.


Tapi Tak Semua Gelap 

Masih Ada Cahaya Jangan salah, dunia hiburan Malaysia masih ada permata. Ada penyanyi yang pegang prinsip. Ada pelakon yang pilih skrip dengan nilai. Ada pengarah yang berani lawan arus.

Tapi sayangnya, mereka selalu dibayangi oleh drama viral dan kontroversi.

Seni Atau Sensasi? Sebagai penonton, kita ada kuasa. Nak sokong yang berbakat atau yang retis?

Jangan angkat artis yang hanya tahu cipta kontroversi.

Sokong karya yang angkat martabat seni.

Jangan biar trending tentukan apa yang bernilai.

Kalau tidak, dunia hiburan kita akan terus jadi:

“Cantik di luar… kosong di dalam.”


 

"Red Flag Tapi Dimaafkan" — Bila Drama Melayu Jadikan Keganasan Rumah Tangga Sebagai Bahan Fantasi

Dalam dunia yang semakin terbuka dan celik hari ini, kita masih disajikan dengan satu kebiasaan beracun dalam drama tempatan:

Lelaki yang memukul wanita… tapi masih dianggap hero.

Yes, you read that right.
Dalam banyak drama, kita disogokkan dengan “suami panas baran tapi penyayang”, “lelaki keras tapi sebenarnya terluka”, dan “isteri derita tapi setia”.


Penderaan Emosi dan Fizikal = Naratif Cinta?

Kenapa dalam banyak drama Melayu, keganasan rumah tangga dipakejkan sebagai:

“Ujian rumah tangga biasa.”
“Suami tu garang je, tapi hatinya baik.”
“Isteri yang sabar akan dapat syurga.”

HELLO?
Sejak bila tampar, herdik, dan caci maki jadi jalan ke syurga?
Kalau sabar tu bermaksud diamkan penderaan, itu bukan sabar, itu penghapusan maruah diri.


“Lelaki Abuser Tapi Traumatised”  STOP ROMANTICISING THIS !

Plot paling cliché tapi menjengkelkan:

  1. Lelaki ada trauma zaman kanak-kanak.

  2. Jadi dia kasar, baran, kaki maki.

  3. Heroin sabar, doakan dia siang malam.

  4. Akhirnya dia insaf.

  5. Mereka bahagia selamanya.

I’m sorry…
Kau panggil ini cinta?
Ini bukan cinta. Ini skrip manipulasi, mengajar wanita untuk tinggal dalam penderaan demi “happy ending”.


Apa Salahnya Nak Cinta Yang Sihat Dalam Drama Melayu?

Kenapa tak boleh ada:

  • Lelaki yang baik tanpa perlu jadi abuser dulu?

  • Perempuan yang kuat, yang tahu tinggalkan bila disakiti?

  • Watak yang belajar boundaries, bukan belajar beralah dalam kesakitan?

Kenapa cinta kena sakit dulu, baru indah?
Padahal realitinya, cinta macam tu tinggalkan luka yang tak nampak, tapi merosakkan jiwa.


Kesan Drama Pada Penonton — Jangan Pandang Ringan

Jangan lupa, penonton bukan semua dewasa matang.
Ada remaja yang baru kenal cinta.
Ada wanita yang sedang hadap penderaan, tapi bila tengok drama, dia fikir:

“Mungkin aku patut sabar… macam heroin tu.”
“Mungkin suami aku akan berubah… macam dalam TV.”

Dan di situlah drama kita gagal.


Keganasan Bukan Estetika. Ia Realiti Hitam Yang Perlu Dikecam.

Kalau drama nak tunjuk penderaan — tunjuklah kesannya:

  • Trauma jiwa.

  • Kemusnahan keyakinan diri.

  • Kesan kepada anak-anak.

  • Realiti penceraian, mahkamah, dan shelter wanita.

Bukan hias dengan background music sedih, lepas tu “dia berubah sebab cinta”.
No. Just no.


Apa Yang Kita Mahu?

Kami penonton mahukan:

✅ Cinta yang sihat.
✅ Karakter wanita yang tahu nilai diri.
✅ Naratif yang bawa healing, bukan trauma berulang.
✅ Lelaki yang bertanggungjawab, bukan bertopeng agama dan trauma.


Enough Dengan Red Flag Dijadikan Romance

Sudah tiba masa drama Melayu berhenti normalisasikan penderaan sebagai cinta.
Bila penulis skrip tak berani ubah naratif, maka budaya kekal begini,wanita yang terluka, dan lelaki yang selalu dimaafkan.

Dan kita penonton…
wajib bersuara.
Kalau bukan sekarang, bila lagi kita nak ubah naratif yang sakit ni?

Kalau Imam al-Shafi‘i Hidup Zaman Kita, Apa Dia Akan Kata?

Dalam dunia yang semakin laju dan bising ini, setiap suara berlumba-lumba mahu didengar.
Ada yang menjerit atas nama kebenaran, ada yang berbisik sambil menyebar racun.
Namun di tengah hiruk-pikuk dunia digital hari ini, aku sering tertanya-tanya…

Kalau Imam al-Shafi‘i hidup zaman kita, apa dia akan kata?

Adakah dia akan ada akaun Twitter? Adakah dia akan balas DM di Instagram? Atau… adakah dia akan tetap menjadi seorang alim yang mendidik dalam diam, penuh hikmah?


Hari ini, menuntut ilmu seolah-olah berlumba-lumba untuk jadi yang paling tahu, paling betul.

Ilmu tidak lagi menjadi jalan keimanan, tetapi menjadi gelanggang populariti.

Namun, Imam al-Shafi‘i pernah berkata:

"Ilmu adalah cahaya, dan cahaya Allah tidak diberikan kepada pendosa."

Bayangkan…
Kalau beliau melihat budaya flex baca satu buku, terus buat ulasan panjang di TikTok; hafal satu hadis, terus berhujah di Twitter.
Mungkin dia akan geleng kepala perlahan.
Bukan kerana benci, tapi kerana kecewa melihat ilmu menjadi bahan tontonan, bukan sumber perubahan.


Kita suka berbalah. Dalam ruang komen, dalam ruang kuliah, malah dalam grup WhatsApp keluarga.

Dan malangnya, kadang-kadang kita cari menang. bukan cari kebenaran.

Tapi kata Imam al-Shafi‘i:

"Aku tidak pernah berdebat dengan seseorang kecuali aku berharap kebenaran keluar dari mulutnya, bukan dari mulutku."

Alangkah dalamnya kata itu.
Ia bukan hanya menunjukkan keikhlasan, tapi rendah diri yang luar biasa.
Di saat kita rakus mahu “menang hujah”, dia pula tenang memilih “menang hati”.


Kalau Imam al-Shafi‘i jadi pelajar universiti hari ini, dia bukan jenis selfie dengan nota dan tulis caption “#StudyHardPrayHarder”.

Dia juga bukan jenis tayang keputusan atas IG story.
Dia akan duduk di barisan depan kuliah, mencatat setiap ilmu, bukan untuk markah, tapi untuk manfaat.

Kerana baginya, ilmu bukan trofi.

"Ilmu bukan apa yang dihafal, tetapi apa yang memberi manfaat."


Imam al-Shafi‘i bukan hanya faqih yang tajam akalnya, dia juga lembut jiwanya.

Dia memahami kelemahan manusia, dan tidak terus menghukum.

Kalau beliau lihat remaja hari ini tersasar, dia tidak akan naik status:

“Zaman akhir zaman. Semua rosak.”

Sebaliknya, dia akan menulis:

"Doakan mereka. Semoga Allah tak uji kita dengan apa yang mereka sedang lalui."

Inilah beza alim sejati dengan alim emosi.


Imam al-Shafi‘i juga seorang penyair. Dan kata-katanya bukan hanya indah, tapi membentuk jiwa.

"Bersabarlah atas pedihnya belajar, kerana pahitnya kejahilan itu lebih merosakkan."

Bagi generasi kita yang cepat putus asa, cepat hilang motivasi, kata-kata ini bagaikan air sejuk di tengah padang pasir.


Kalau Imam al-Shafi‘i hidup hari ini, mungkin dia tidak viral.

Mungkin tiada siapa retweet tulisannya.
Tapi sesiapa yang duduk mendengar kata-katanya, akan pulang dengan hati yang baru.

Kerana beliau tidak bercakap untuk didengar, tapi untuk menyentuh jiwa.

Soalannya bukan lagi: “Apa dia akan kata?”
Tetapi…

“Jika dia melihat hidup kita sekarang… adakah dia akan tersenyum, atau menangis?”

Swipe, Scroll, Repeat: Anak Muda dan Dunia Dua Dimensi

Aku bangun pagi , belum sempat gosok gigi, tangan sudah meraba telefon. Mata masih kabur, tapi jari ligat membuka Instagram, TikTok, dan Twitter. Aku bukan seorang saja. Ini rutin jutaan anak muda  bangun dalam dunia nyata, tapi hidup dalam dunia maya.

Media sosial hari ini bukan sekadar platform hiburan. Ia sudah jadi cermin identiti, medan ekspresi, dan pentas perbandingan. Di balik setiap gambar senyum, ada penat disorok. Di balik setiap video trending, ada usaha keras atau mungkin... sekadar lakonan.

Anak muda generasiku lahir dalam dunia dua dimensi, dunia yang penuh filter, algoritma dan 'likes' yang dikira macam nilai diri. Siapa yang banyak pengikut, dialah raja. Siapa yang sunyi dalam ruang digital, sering rasa ketinggalan. Aneh, kita makin ramai 'kawan' tapi makin kerap rasa sunyi.

Tapi media sosial bukan sepenuhnya gelap. Di sana juga anak muda bersuara. Tentang keadilan, krisis iklim, kesihatan mental, Palestin, pendidikan. Satu ciapan mampu gegarkan sistem. Satu video mampu ubah cara fikir satu generasi.

Namun, persoalannya , adakah kita memiliki media sosial, atau kita yang dimiliki olehnya? Adakah kita benar-benar bebas memilih, atau hanya menari mengikut rentak algoritma?


Anak muda perlu celik. Bukan hanya celik teknologi, tapi celik makna. Belajar guna media sosial sebagai alat, bukan tempat kita hilang arah. Gunakan untuk menyebar ilmu, bukan hanya konten kosong. Gunakan untuk merapatkan manusia, bukan hanya mencipta ilusi sempurna. Di akhir hari, hidup bukan tentang berapa ramai yang menekan ‘suka’... tapi tentang siapa yang benar-benar hadir bila kita perlu.


Hari Sebelum Raya: Anyaman, Rendang dan Tangisan Sepupu

Kampung di Kelantan memang ada magisnya sendiri, lebih-lebih lagi bila menjelang raya. Hari-hari biasa terasa perlahan dan damai, tapi bila masuk hari sebelum raya, suasananya terus berubah, penuh hiruk-pikuk, gelak tawa, bunyi senduk berlaga dan... tangisan bayi.

Tahun ni, aku balik kampung awal, kononnya nak ‘lari dari jem’. Tapi malangnya, jem pula yang tak lari dari aku. Bayangkan, dari Kajang ke Kelantan, perjalanan yang sepatutnya enam jam, jadi lapan belas jam. Ya, betul apa yang awak baca, lapan belas jam duduk dalam kereta. Keluar masih gelap, sampai kampung pun sudah gelap awannya. Kaki kebas, punggung jadi peti ais, dan lagu raya dah habis berulang sampai lima kali.

Di Gua Musang, kereta bergerak macam siput sedih. Ada yang siap buka bekal nasi lemak tepi highway. Aku pula duduk diam sambil kira lembu yang lalu tepi jalan. Mak aku buka cerita lama-lama, ayah aku berzikir sabar dalam hati, padahal muka macam dah nak makan orang, dan aku? Sibuk buka Waze yang asyik suruh “make a U-turn if possible”. nak possible macam mana...?

Sampai saja di kampung, walaupun badan lesu dan kepala serabut, hati aku terus sejuk tengok pokok kelapa melambai. Bau daun pisang, suara ayam, dan jeritan sepupu kecil sambut kami. Letih jem terus hilang… well, separuh je hilang — separuh lagi kekal dalam pinggang 😩.


Lepas tu terus sambung balik bab dapur dan tangisan sepupu:

Mak cik kat dapur tengah sibuk mengacau rendang dalam kawah besar. Bau harum santan dan serai memenuhi udara. Aku tanya, “Nak tolong apa?” Dia bagi aku sudip dan cakap, “Kacau ni, jangan bagi hangit.” Lima minit kemudian, aku dah berpeluh macam masuk gym.

Di tengah kemeriahan itu, sepupu lelaki kecil aku yang ter sangat manja, mula menangis tanpa henti. Tangisannya seperti siren ambulans kampung, panjang, nyaring dan mengejutkan semua. Setiap kali orang gelak, dia menangis. Setiap kali ada bunyi blender, dia menangis. Setiap kali aku dekat sikit nak makan daging rendang curi-curi... ya, dia menangis juga.

Tapi dalam kekalutan itu, aku rasa hangatnya keluarga. Rasa syukur yang tak boleh dibeli dengan duit. Semua sibuk, semua letih, tapi semua ada bersama. Ada tawa, ada suara riuh, ada mata yang bersinar menanti Syawal.


Hari sebelum raya di kampung bukan sekadar persiapan fizikal, tapi persiapan hati. Ketupat anyam sambil bercerita kisah lama. Rendang dikacau sambil menahan tawa. Tangisan sepupu dan jem 18 jam? Itu muzik latar kami, memecah sunyi, menghidupkan cerita.


“Kampung mengajar aku — raya bukan tentang baju baru atau duit raya. Tapi tentang kenangan yang diikat dalam ketupat, disimpan dalam hati sampai tua.”

Kolej: Di Sini Aku Belajar Tentang Hidup, Bukan Sekadar Subjek

Kolej bukan sekadar tempat belajar. Ia adalah ruang peralihan , dari alam remaja ke dewasa. Di sinilah aku mula mengenal erti berdikari, mengenal manusia pelbagai ragam, dan yang paling penting,  mengenal diri sendiri.

Minggu pertama di kolej? Penuh kekok. Canggung. Semua orang asing. Bilik baru, suasana baru, suara ibu pun hanya tinggal gema dalam telefon. Lebih lagi, aku yang tidak pernah berjauhan dari umah. Umur 18 tahun, baru lah aku menetap di kolej, jauh dari ibu tersayang. Rindu? Aku sendiri mengaku yang aku menangis 2 hari berturut turut. Namun, hisup mesti diteruskan, kan? Aku belajar memasak mi segera dengan cerek air, belajar lipat baju sendiri (dengan malas), dan belajar tidur dengan kipas berdengung tanpa suara TV mak.

Tapi di celah semua itu, aku juga mula membina sesuatu yang lebih bermakna , persahabatan. Aku jumpa kawan yang sudi tolong cari kelas waktu aku sesat. Kawan yang mengajak makan bersama di kafe, Kawan yang bergelak tawa menunggu kehadiran pensyarah masuk ke kelas. Kawan yang sama-sama tidur lambat siapkan tugasan. Dan kadang, kawan yang bagi pelukan senyap bila hari terasa berat.

Di kolej juga aku belajar bahawa pensyarah bukan sekadar pemberi nota. Ada yang seperti ibu, lembut dan penuh nasihat. Ada juga seperti sahabat, yang berbicara santai tapi dalam. Mereka mengajar aku bukan saja tentang subjek, tapi tentang maruah, disiplin dan harga diri.

Namun, tak semua hari indah. Ada malam aku menangis diam-diam. Ada hari aku gagal faham kuliah dan rasa bodoh sendiri. Ada hari aku terdiam, hanya tangisan dan suara ibu yang memujuk di terlefon, tapi perlahan-lahan aku belajar, jatuh itu bukan kegagalan. Jatuh itu sebahagian daripada pembelajaran.


Kolej bukan syurga, tapi ia adalah taman kecil untuk aku tumbuh. Bukan semua tumbuhan mekar hari pertama. Tapi setiap hari yang berlalu, aku sedar,  aku sedang membesar. Dalam diam, aku mula kuat.


“Di kolej, aku belajar menulis nota kuliah, tapi aku juga belajar menulis bab baru dalam hidupku , sebagai manusia yang cuba menjadi lebih baik dari semalam.”


Agama: Cahaya yang Menemani, Bukan Mengikat

Dalam hidup yang serba laju ini, kadang-kadang kita tersasar. Terlalu sibuk kejar ‘deadline’tugasan, terlalu sibuk "self reward" berelak tawa seperti tiada hari esok, terlalu leka dengan dunia , sampai lupa apa sebenarnya yang kita cari. Tapi di saat hati terasa kosong dan gelisah, aku sedar , agama tidak pernah jauh. Hanya aku yang menjauh.

Aku bukan sempurna. Solat pun kadang-kadang ada yang terlewat, masih ada yang ditinggal asbab "sibuk" dan "malas". Tapi setiap kali aku duduk sebentar selepas sujud terakhir, aku rasa...tenang. Ada sesuatu tentang agama yang tidak dapat diberi oleh dunia. Ketenangan yang datang tanpa perlu bayar, tanpa perlu tayang.

Agama bagi aku bukan hanya tentang hukum dan larangan. Ia adalah panduan hidup. Ia mendidik aku untuk jujur, sabar, hormat ibu bapa, jaga adab,  semua itu nilai yang buat aku rasa jadi manusia.

Aku tahu ramai yang rasa agama itu mengikat. Tapi bagi aku, agama adalah tali yang menyelamatkan, bukan rantai yang mengikat. Bila kita faham agama dengan hati, bukan hanya hafalan , bukan hanya atas kad pengenalan, kita akan tahu bahawa Tuhan bukan mahu menyekat kebebasan, tapi mahu menjaga kita daripada luka yang kita tak nampak sekarang.

Cabaran remaja hari ini bukan sedikit. Tapi agama, kalau benar-benar dihayati, boleh jadi pelindung paling ampuh. Bukan saja untuk akhirat, tapi juga untuk dunia.


Aku bersyukur dilahirkan sebagai seorang Muslim. Tapi lebih penting daripada itu, adalah usaha aku untuk menjadi seorang Muslim yang lebih baik, perlahan-lahan, hari demi hari.

Seni dan Budaya di Hujung Tali: Cerita Wau Bulan di Kampungku

Musim angin timur di kampungku di Kelantan sentiasa membawa sesuatu yang istimewa. Bukan sekadar bayu sejuk yang meniup rambut, tetapi juga kenangan dan warisan yang terbang tinggi di langit , wau bulan.

Sejak kecil, aku sudah terbiasa melihat pak cik ku duduk bersila di serambi rumah kampung yang sudah lusuh, mengikat rangka wau dengan buluh nipis dan benang guni. Di sebelahnya, botol gam, gunting dan kertas berwarna-warni berselerak , seperti palet seni seorang pelukis kampung. Wau yang dihasilkan bukan sahaja cantik, tetapi punya jiwa.

Setiap corak dilukis dengan tangan yang berhati-hati, dipilih dari bunga-bunga tradisional dan ukiran klasik Melayu. Ada bunga tanjung, daun sirih, pucuk rebung , semua simbol kasih, kekuatan dan keharmonian. Wau bukan sekadar mainan, tetapi cerita bangsa yang terbang bebas di angkasa.

Apabila angin mula kuat, aku, pakcik ku dan abang abang ku akan ke bendang yang luas. Langit petang yang jingga menjadi pentas bagi wau-wau kami menari. Bunyi ngiuuu dari busur wau itu seperti alunan muzik purba yang hanya orang kampung faham.

Aku berdiri, memandang ke langit , dan rasa kecil. Tapi dalam kecil itu, aku juga rasa bangga. Aku anak Kelantan. Anak kepada tanah yang kaya dengan seni. Wau bukan milik masa lalu, wau adalah bukti bahawa budaya kita masih boleh hidup, selagi kita mahu mengangkatnya.

Hari ini, di zaman skrin dan gajet, tak ramai anak muda kenal bau gam getah atau tahu beza wau bulan dengan wau kucing. Tapi aku percaya, kalau kita tak mulakan langkah menyambung warisan ini, siapa lagi?

Wau bukan hanya terbang di langit. Ia terbang di hati, dan meninggalkan bayang yang tak mudah hilang.

Baju Kurung: Lembut Pada Kain, Kuat Pada Makna

Baju kurung bukan sekadar sehelai kain berpotongan longgar. Ia adalah helaian sejarah yang membalut maruah, kelembutan yang membungkus kekuatan, dan simbol budaya yang tetap berdiri megah walau ditolak arus moden.

Aku masih ingat kali pertama aku pakai baju kurung sendiri, bukan kerana disuruh, tapi kerana aku mahu. Hari itu, Hari Raya Aidilfitri. Aku masih berumur lima tahun waktu itu, ibu menyuruh ku memakai baju tshirt biasa dan seluar, risau aku panas katanya. Aku memilih baju kurung berbunga halus, warna lembut, dengan kain susun tepi yang mak jahit sendiri. Bila aku berdiri di hadapan cermin, aku rasa sesuatu. Bukan cantik semata, tapi rasa dimiliki, seolah-olah aku disambut masuk ke dalam sebuah warisan yang sudah lama menunggu aku menyertainya.

Baju kurung menjadikan aku anggun bukan kerana rupa, tapi kerana rasa. Rasa selamat, rasa sopan, rasa seperti menjadi wanita Melayu dalam erti sebenar.

Dalam dunia hari ini, ramai yang mencari keunikan dalam pakaian luar negara, mengejar fesyen moden dan potongan yang pelik-pelik. Tak salah. Tapi kadang-kadang, kita lupa bahawa keaslian ada di depan mata. Baju kurung tetap relevan ,di pejabat, di sekolah, di hari raya, bahkan di pentas dunia.

Baju kurung berubah,  dari kain kapas ke satin, dari polos ke corak kontemporari. Tapi rohnya tidak pernah hilang. Ia tetap mengajarkan nilai kesederhanaan, kesopanan, dan keindahan wanita Melayu.

Memakai baju kurung adalah satu kenyataan diam: Aku bangga menjadi wanita dalam budaya yang menjunjung adab.


Nak pakai baju kurung hari ini? Tak perlu tunggu Hari Kebangsaan atau kenduri. Pakai saja dan biar dunia tahu bahawa budaya ini bukan tinggalan, tapi pilihan.

Nasi Lemak: Warisan di Atas Daun, Cinta di Setiap Suapan

Bagi sesetengah orang, nasi lemak hanyalah sarapan pagi. Tapi bagi aku, nasi lemak adalah memori, budaya, dan identiti yang dibungkus rapi dalam daun pisang , penuh rasa, penuh cerita.

Setiap kali aku menyuap nasi lemak, ada sesuatu yang lebih dalam daripada rasa lemak santan dan pedas sambal. Aku teringat pagi-pagi di kampung, bau nasi yang baru masak, bunyi ibu di dapur, dan suasana meja makan yang belum dicemari oleh telefon bimbit dan kesibukan dunia.

Nasi lemak bukan sekadar makanan, ia adalah bahasa cinta seorang ibu. Sambal yang direneh perlahan, ikan bilis yang digoreng garing, timun yang dihiris nipis , semuanya bukan dibuat sekadar untuk kenyang, tapi untuk menyenangkan.

Di bandar, nasi lemak berubah rupa. Ada yang premium, ada yang hipster. Ada yang dihidang bersama rendang wagyu, telur separuh masak dan latte di sebelah. Aku tidak menolak perubahan. selagi ia masih membawa roh yang sama; menyatukan orang di meja makan.

Tapi aku juga risau. Apakah nasi lemak akan terus menjadi milik kita? Atau suatu hari nanti, ia hanya tinggal dalam buku sejarah sebagai “makanan tradisional Melayu yang pernah popular”?

Sebagai generasi muda, kita bukan sahaja perlu menikmati nasi lemak , kita juga perlu menghargainya. Mengetahui asal usulnya, mempelajari caranya, dan mengekalkan warisannya.

Kerana makanan seperti ini bukan sekadar sedap di lidah. Ia sedap di jiwa. Ia menyambungkan kita dengan nenek moyang, dengan tanah ini, dengan satu sama lain.

Dan bagi aku, dalam dunia yang semakin moden, satu suapan nasi lemak yang ikhlas , tetap lebih mengenyangkan daripada seribu makanan segera yang kosong rasa.

Bumi dan Dunia di Sebalik Mata yang Tak Tertutup

Aku tak pernah sangka, sebuah buku boleh membawa aku ke dimensi lain , bukan sekadar ruang dalam fikiran, tapi juga ruang dalam hati.

Buku Bumi karya Tere Liye, bukan novel biasa. Ia seperti pintu rahsia yang terbuka perlahan-lahan  mengajak aku menyelami dunia yang penuh kuasa istimewa, persahabatan sejati, dan perjuangan antara cahaya dan gelap.

Watak utamanya, Raib , gadis yang nampak biasa tapi menyimpan rahsia luar biasa. Dari hidup sebagai pelajar sekolah menengah, tiba-tiba dia ditarik ke dunia di mana bulan punya lebih dari satu bentuk, dan manusia ada lebih dari satu jenis. Bersama Ali dan Seli, dua sahabat yang sangat berbeza, mereka melangkah ke petualangan yang jauh dari kebiasaan.

Tapi di sebalik semua itu, aku sedar , buku ini bukan semata-mata tentang kuasa atau fantasi. Ia tentang keberanian menjadi diri sendiri. Tentang bagaimana kita memikul tanggungjawab atas apa yang ada dalam diri kita, walaupun kita tak pernah minta kuasa itu.

Setiap kali aku menutup buku ini, aku termenung. Apa kuasa yang aku sendiri miliki dalam dunia nyata? Mungkin bukan seperti Raib atau Seli. Tapi mungkin, kuasa untuk memilih. Kuasa untuk berubah. Kuasa untuk mempertahankan kebenaran walau seorang diri.

Tere Liye menulis dengan gaya mudah tapi mengena. Imaginasi dalam bukunya liar dan bebas, tapi tetap berpijak pada emosi yang nyata. Itulah kekuatan buku ini , membuatkan aku percaya bahawa walaupun kita cuma pelajar biasa, kita juga punya misi dalam hidup ini.

Bumi bukan sekadar buku. Ia adalah semesta. Dan dari semesta itulah, aku mula menyedari bahawa setiap manusia , termasuk aku yang sedang menulis kisah mereka sendiri di sini.

Langkah Kecil, Momen Besar: Kembara Keluarga di BUkit Broga

 Kadang-kadang, kita tak perlu terbang jauh untuk merasa nikmat sebuah kembara. Cukup dengan mengikat tali kasut, bawa sedikit bekalan, dan melangkah bersama orang yang paling dekat di hati  keluarga.

Awal pagi Sabtu, kami sekeluarga bangun lebih awal dari biasa. Ayah memandu kami ke sebuah kawasan rekreasi berhampiran Kajang, di Bukit Broga. Tak tinggi pun bukitnya, cuma bukit kecil yang menjadi tempat penduduk sekitar berjoging dan beriadah. Tapi bagi aku, ini lebih daripada sekadar riadah.

Aku jarang keluar dengan keluarga sejak masuk universiti. Sibuk. Penat. Dan kadang, tak sedar pun bahawa rumah itu semakin sunyi. Tapi hari itu, bila aku tengok mak senyum sambil bawa roti, ayah yang diam tapi semangat mendaki, dan abang - abang dan adik ku yang galak berlari ke depan, aku rasa... inilah momen yang aku selalu terlepas pandang.

Denai tanah merah itu mungkin biasa saja. Tapi bila dilalui bersama, setiap langkah jadi luar biasa. Kami banyak berdiam, sesekali gelak bila salah langkah atau tergelincir. Tapi dalam diam itulah aku rasa tenang. Tak ada bunyi notifikasi. Tak ada tarikh akhir tugasan. Hanya suara hutan, dan suara hati.

Sampai ke puncak kecil bukit itu, kami bentang tikar dan buka bekalan. Roti, air, dan sandwich telur yang mak ku sediakan pagi itu. Tapi semuanya terasa lebih sedap bila dimakan dengan orang yang kita sayang. Aku pandang wajah mak ayah , makin tua. Tapi senyum mereka, masih muda seperti dulu.

Kembara ini mungkin singkat dan sederhana, tapi ia mengajar aku satu perkara: dalam sibuk mengejar dunia, jangan lupa untuk kembali kepada asal , keluarga, alam, dan diri sendiri.

AI dan Aku: Belajar Dengan Bijak, Bukan Bergantung Buta

Sejak kemunculan teknologi seperti ChatGPT, pelajar-pelajar macam aku seolah-olah ada “rakan belajar” baharu. Taip je soalan, terus keluar jawapan. Nota boleh dijana. Karangan boleh dibina. Malah, kerja rumah pun boleh disiapkan dalam masa seminit dua. Jujur aku cakap, memang best. Tapi... adakah semua ini benar-benar membantu aku belajar, atau cuma buat aku makin malas berfikir?

Isu penggunaan AI dalam kalangan pelajar universiti bukan lagi perkara asing. Ramai antara kami menggunakan AI sebagai alat bantu belajar , tapi ada juga yang menggunakannya secara membuta tuli. Bila pensyarah bagi tugasan, terus hantar pada AI. Tak semak. Tak faham. Janji siap.

Masalahnya bukan pada teknologi. Masalahnya, cara kita guna teknologi itu. AI sepatutnya jadi pembantu, bukan pengganti usaha sendiri. Kalau kita terlalu bergantung, nanti kita hilang kemampuan untuk berfikir, untuk mencipta, dan untuk menganalisis. Ilmu yang kita dapat pun jadi kosong ,  cantik di atas kertas, tapi kosong di dalam kepala.

Aku sendiri pernah "terlajak" guna AI ,  hasil kerja nampak hebat, tapi bila disoal dalam kelas, aku blur. Dari situ aku belajar. Guna AI tak salah, tapi mestilah bijak. Semak balik jawapan. Fahamkan semula isi. Tambah suara dan pendapat sendiri. Itu baru dinamakan pelajar yang aktif, bukan pasif.

Teknologi akan terus berkembang. AI akan jadi makin canggih. Tapi manusia yang berjaya bukan yang bergantung sepenuhnya, tapi yang tahu mengawal dan memanfaatkan dengan beretika. Sebagai pelajar, tanggungjawab kita bukan sekadar lulus peperiksaan , tapi belajar untuk jadi insan yang berilmu, jujur, dan kritis.

Akhir kata, AI bukan musuh. Tapi ia juga bukan penyelamat mutlak. Kita yang tentukan: nak jadi pelajar yang dibantu oleh teknologi, atau pelajar yang ditenggelamkan oleh kemudahan?

Kelas Pertama BBK3410: Jejak Awal ke Dunia Sastera

Kelas pertama bagi kursus BBK3410 pada semester kedua bermula dalam suasana yang agak kelam-kabut , bukan di dalam dewan kuliah, tetapi di ruang bilik sendiri, bersulam bantal dan selimut. Seperti biasa, hari-hariku di rumah dipenuhi dengan rutin yang mendatar, makan, tidur, dan ulang semula. Maka tidak hairanlah aku hampir terlupa bahawa kelas akan bermula pagi itu.

Tersedar dari lena yang panjang, aku tergesa-gesa mencari pautan kelas dalam kumpulan WhatsApp  jari menekan "link" dengan harapan agar tidak terlalu lewat. Saat wajah pensyarah muncul di skrin, aku terpaku seketika. Namanya Dr. Kamariah seorang tokoh yang bukan sekadar bergelar pensyarah kanan di UPM, tetapi juga merupakan penulis sastera Melayu yang cukup dihormati.

Keperibadian beliau tenang, namun aura ilmu yang mengelilinginya terasa jelas. Kelas pertama kami berjalan dalam suasana santai namun bermakna. Dr. Kamariah memperkenalkan struktur kursus dan tugasan sepanjang semester, sebelum menyentuh sedikit mengenai sajak, permulaan yang ringkas, tetapi cukup untuk membuka mata dan hati.

Sebagai pelajar yang tidak begitu mendalami dunia sastera sebelum ini, aku akui,  sajak, pantun, dan puisi adalah perkara yang dahulu hanya berlalu di pinggiran minatku. Namun entah mengapa, melalui sentuhan pengajaran Dr. Kamariah, timbul rasa ingin tahu yang baru. Kelas BBK3410 bukan sekadar kursus wajib semata-mata, tetapi seakan sebuah pintu yang membuka ruang luas kepada keindahan bahasa dan pemikiran bangsa.

Harapanku, agar dalam semester ini aku bukan sahaja belajar tentang bentuk dan gaya, tetapi turut menyemai kecintaan yang lebih mendalam terhadap warisan sastera Melayu kita. Bersama bimbingan seorang pendidik yang tulus dan berpengalaman, aku yakin langkah ini baru permulaan kepada sesuatu yang lebih bermakna.




Dunia Hiburan Kita: Seni yang Hilang Atau Sekadar Kejar Trending?

Dulu, hiburan adalah pantulan budaya dan suara masyarakat. Tapi hari ini? Lebih ramai kejar viral berbanding nilai. Artis Atau Algoritma?  ...