Saturday, June 14, 2025

Kolej: Di Sini Aku Belajar Tentang Hidup, Bukan Sekadar Subjek

Kolej bukan sekadar tempat belajar. Ia adalah ruang peralihan , dari alam remaja ke dewasa. Di sinilah aku mula mengenal erti berdikari, mengenal manusia pelbagai ragam, dan yang paling penting,  mengenal diri sendiri.

Minggu pertama di kolej? Penuh kekok. Canggung. Semua orang asing. Bilik baru, suasana baru, suara ibu pun hanya tinggal gema dalam telefon. Lebih lagi, aku yang tidak pernah berjauhan dari umah. Umur 18 tahun, baru lah aku menetap di kolej, jauh dari ibu tersayang. Rindu? Aku sendiri mengaku yang aku menangis 2 hari berturut turut. Namun, hisup mesti diteruskan, kan? Aku belajar memasak mi segera dengan cerek air, belajar lipat baju sendiri (dengan malas), dan belajar tidur dengan kipas berdengung tanpa suara TV mak.

Tapi di celah semua itu, aku juga mula membina sesuatu yang lebih bermakna , persahabatan. Aku jumpa kawan yang sudi tolong cari kelas waktu aku sesat. Kawan yang mengajak makan bersama di kafe, Kawan yang bergelak tawa menunggu kehadiran pensyarah masuk ke kelas. Kawan yang sama-sama tidur lambat siapkan tugasan. Dan kadang, kawan yang bagi pelukan senyap bila hari terasa berat.

Di kolej juga aku belajar bahawa pensyarah bukan sekadar pemberi nota. Ada yang seperti ibu, lembut dan penuh nasihat. Ada juga seperti sahabat, yang berbicara santai tapi dalam. Mereka mengajar aku bukan saja tentang subjek, tapi tentang maruah, disiplin dan harga diri.

Namun, tak semua hari indah. Ada malam aku menangis diam-diam. Ada hari aku gagal faham kuliah dan rasa bodoh sendiri. Ada hari aku terdiam, hanya tangisan dan suara ibu yang memujuk di terlefon, tapi perlahan-lahan aku belajar, jatuh itu bukan kegagalan. Jatuh itu sebahagian daripada pembelajaran.


Kolej bukan syurga, tapi ia adalah taman kecil untuk aku tumbuh. Bukan semua tumbuhan mekar hari pertama. Tapi setiap hari yang berlalu, aku sedar,  aku sedang membesar. Dalam diam, aku mula kuat.


“Di kolej, aku belajar menulis nota kuliah, tapi aku juga belajar menulis bab baru dalam hidupku , sebagai manusia yang cuba menjadi lebih baik dari semalam.”


No comments:

Post a Comment

Dunia Hiburan Kita: Seni yang Hilang Atau Sekadar Kejar Trending?

Dulu, hiburan adalah pantulan budaya dan suara masyarakat. Tapi hari ini? Lebih ramai kejar viral berbanding nilai. Artis Atau Algoritma?  ...