Dalam dunia yang semakin laju dan bising ini, setiap suara berlumba-lumba mahu didengar.
Ada yang menjerit atas nama kebenaran, ada yang berbisik sambil menyebar racun.
Namun di tengah hiruk-pikuk dunia digital hari ini, aku sering tertanya-tanya…
Kalau Imam al-Shafi‘i hidup zaman kita, apa dia akan kata?
Adakah dia akan ada akaun Twitter? Adakah dia akan balas DM di Instagram? Atau… adakah dia akan tetap menjadi seorang alim yang mendidik dalam diam, penuh hikmah?
Ilmu tidak lagi menjadi jalan keimanan, tetapi menjadi gelanggang populariti.
Namun, Imam al-Shafi‘i pernah berkata:
"Ilmu adalah cahaya, dan cahaya Allah tidak diberikan kepada pendosa."
Bayangkan…
Kalau beliau melihat budaya flex baca satu buku, terus buat ulasan panjang di TikTok; hafal satu hadis, terus berhujah di Twitter.
Mungkin dia akan geleng kepala perlahan.
Bukan kerana benci, tapi kerana kecewa melihat ilmu menjadi bahan tontonan, bukan sumber perubahan.
Dan malangnya, kadang-kadang kita cari menang. bukan cari kebenaran.
Tapi kata Imam al-Shafi‘i:
"Aku tidak pernah berdebat dengan seseorang kecuali aku berharap kebenaran keluar dari mulutnya, bukan dari mulutku."
Alangkah dalamnya kata itu.
Ia bukan hanya menunjukkan keikhlasan, tapi rendah diri yang luar biasa.
Di saat kita rakus mahu “menang hujah”, dia pula tenang memilih “menang hati”.
Dia juga bukan jenis tayang keputusan atas IG story.
Dia akan duduk di barisan depan kuliah, mencatat setiap ilmu, bukan untuk markah, tapi untuk manfaat.
Kerana baginya, ilmu bukan trofi.
"Ilmu bukan apa yang dihafal, tetapi apa yang memberi manfaat."
Dia memahami kelemahan manusia, dan tidak terus menghukum.
Kalau beliau lihat remaja hari ini tersasar, dia tidak akan naik status:
“Zaman akhir zaman. Semua rosak.”
Sebaliknya, dia akan menulis:
"Doakan mereka. Semoga Allah tak uji kita dengan apa yang mereka sedang lalui."
Inilah beza alim sejati dengan alim emosi.
"Bersabarlah atas pedihnya belajar, kerana pahitnya kejahilan itu lebih merosakkan."
Bagi generasi kita yang cepat putus asa, cepat hilang motivasi, kata-kata ini bagaikan air sejuk di tengah padang pasir.
Mungkin tiada siapa retweet tulisannya.
Tapi sesiapa yang duduk mendengar kata-katanya, akan pulang dengan hati yang baru.
Kerana beliau tidak bercakap untuk didengar, tapi untuk menyentuh jiwa.
Soalannya bukan lagi: “Apa dia akan kata?”
Tetapi…
“Jika dia melihat hidup kita sekarang… adakah dia akan tersenyum, atau menangis?”
No comments:
Post a Comment