Saturday, June 14, 2025

Hari Sebelum Raya: Anyaman, Rendang dan Tangisan Sepupu

Kampung di Kelantan memang ada magisnya sendiri, lebih-lebih lagi bila menjelang raya. Hari-hari biasa terasa perlahan dan damai, tapi bila masuk hari sebelum raya, suasananya terus berubah, penuh hiruk-pikuk, gelak tawa, bunyi senduk berlaga dan... tangisan bayi.

Tahun ni, aku balik kampung awal, kononnya nak ‘lari dari jem’. Tapi malangnya, jem pula yang tak lari dari aku. Bayangkan, dari Kajang ke Kelantan, perjalanan yang sepatutnya enam jam, jadi lapan belas jam. Ya, betul apa yang awak baca, lapan belas jam duduk dalam kereta. Keluar masih gelap, sampai kampung pun sudah gelap awannya. Kaki kebas, punggung jadi peti ais, dan lagu raya dah habis berulang sampai lima kali.

Di Gua Musang, kereta bergerak macam siput sedih. Ada yang siap buka bekal nasi lemak tepi highway. Aku pula duduk diam sambil kira lembu yang lalu tepi jalan. Mak aku buka cerita lama-lama, ayah aku berzikir sabar dalam hati, padahal muka macam dah nak makan orang, dan aku? Sibuk buka Waze yang asyik suruh “make a U-turn if possible”. nak possible macam mana...?

Sampai saja di kampung, walaupun badan lesu dan kepala serabut, hati aku terus sejuk tengok pokok kelapa melambai. Bau daun pisang, suara ayam, dan jeritan sepupu kecil sambut kami. Letih jem terus hilang… well, separuh je hilang — separuh lagi kekal dalam pinggang 😩.


Lepas tu terus sambung balik bab dapur dan tangisan sepupu:

Mak cik kat dapur tengah sibuk mengacau rendang dalam kawah besar. Bau harum santan dan serai memenuhi udara. Aku tanya, “Nak tolong apa?” Dia bagi aku sudip dan cakap, “Kacau ni, jangan bagi hangit.” Lima minit kemudian, aku dah berpeluh macam masuk gym.

Di tengah kemeriahan itu, sepupu lelaki kecil aku yang ter sangat manja, mula menangis tanpa henti. Tangisannya seperti siren ambulans kampung, panjang, nyaring dan mengejutkan semua. Setiap kali orang gelak, dia menangis. Setiap kali ada bunyi blender, dia menangis. Setiap kali aku dekat sikit nak makan daging rendang curi-curi... ya, dia menangis juga.

Tapi dalam kekalutan itu, aku rasa hangatnya keluarga. Rasa syukur yang tak boleh dibeli dengan duit. Semua sibuk, semua letih, tapi semua ada bersama. Ada tawa, ada suara riuh, ada mata yang bersinar menanti Syawal.


Hari sebelum raya di kampung bukan sekadar persiapan fizikal, tapi persiapan hati. Ketupat anyam sambil bercerita kisah lama. Rendang dikacau sambil menahan tawa. Tangisan sepupu dan jem 18 jam? Itu muzik latar kami, memecah sunyi, menghidupkan cerita.


“Kampung mengajar aku — raya bukan tentang baju baru atau duit raya. Tapi tentang kenangan yang diikat dalam ketupat, disimpan dalam hati sampai tua.”

No comments:

Post a Comment

Dunia Hiburan Kita: Seni yang Hilang Atau Sekadar Kejar Trending?

Dulu, hiburan adalah pantulan budaya dan suara masyarakat. Tapi hari ini? Lebih ramai kejar viral berbanding nilai. Artis Atau Algoritma?  ...