Tersedar dari lena yang panjang, aku tergesa-gesa mencari pautan kelas dalam kumpulan WhatsApp jari menekan "link" dengan harapan agar tidak terlalu lewat. Saat wajah pensyarah muncul di skrin, aku terpaku seketika. Namanya Dr. Kamariah seorang tokoh yang bukan sekadar bergelar pensyarah kanan di UPM, tetapi juga merupakan penulis sastera Melayu yang cukup dihormati.
Keperibadian beliau tenang, namun aura ilmu yang mengelilinginya terasa jelas. Kelas pertama kami berjalan dalam suasana santai namun bermakna. Dr. Kamariah memperkenalkan struktur kursus dan tugasan sepanjang semester, sebelum menyentuh sedikit mengenai sajak, permulaan yang ringkas, tetapi cukup untuk membuka mata dan hati.
Sebagai pelajar yang tidak begitu mendalami dunia sastera sebelum ini, aku akui, sajak, pantun, dan puisi adalah perkara yang dahulu hanya berlalu di pinggiran minatku. Namun entah mengapa, melalui sentuhan pengajaran Dr. Kamariah, timbul rasa ingin tahu yang baru. Kelas BBK3410 bukan sekadar kursus wajib semata-mata, tetapi seakan sebuah pintu yang membuka ruang luas kepada keindahan bahasa dan pemikiran bangsa.
Harapanku, agar dalam semester ini aku bukan sahaja belajar tentang bentuk dan gaya, tetapi turut menyemai kecintaan yang lebih mendalam terhadap warisan sastera Melayu kita. Bersama bimbingan seorang pendidik yang tulus dan berpengalaman, aku yakin langkah ini baru permulaan kepada sesuatu yang lebih bermakna.
No comments:
Post a Comment