Saturday, June 14, 2025

Seni dan Budaya di Hujung Tali: Cerita Wau Bulan di Kampungku

Musim angin timur di kampungku di Kelantan sentiasa membawa sesuatu yang istimewa. Bukan sekadar bayu sejuk yang meniup rambut, tetapi juga kenangan dan warisan yang terbang tinggi di langit , wau bulan.

Sejak kecil, aku sudah terbiasa melihat pak cik ku duduk bersila di serambi rumah kampung yang sudah lusuh, mengikat rangka wau dengan buluh nipis dan benang guni. Di sebelahnya, botol gam, gunting dan kertas berwarna-warni berselerak , seperti palet seni seorang pelukis kampung. Wau yang dihasilkan bukan sahaja cantik, tetapi punya jiwa.

Setiap corak dilukis dengan tangan yang berhati-hati, dipilih dari bunga-bunga tradisional dan ukiran klasik Melayu. Ada bunga tanjung, daun sirih, pucuk rebung , semua simbol kasih, kekuatan dan keharmonian. Wau bukan sekadar mainan, tetapi cerita bangsa yang terbang bebas di angkasa.

Apabila angin mula kuat, aku, pakcik ku dan abang abang ku akan ke bendang yang luas. Langit petang yang jingga menjadi pentas bagi wau-wau kami menari. Bunyi ngiuuu dari busur wau itu seperti alunan muzik purba yang hanya orang kampung faham.

Aku berdiri, memandang ke langit , dan rasa kecil. Tapi dalam kecil itu, aku juga rasa bangga. Aku anak Kelantan. Anak kepada tanah yang kaya dengan seni. Wau bukan milik masa lalu, wau adalah bukti bahawa budaya kita masih boleh hidup, selagi kita mahu mengangkatnya.

Hari ini, di zaman skrin dan gajet, tak ramai anak muda kenal bau gam getah atau tahu beza wau bulan dengan wau kucing. Tapi aku percaya, kalau kita tak mulakan langkah menyambung warisan ini, siapa lagi?

Wau bukan hanya terbang di langit. Ia terbang di hati, dan meninggalkan bayang yang tak mudah hilang.

No comments:

Post a Comment

Dunia Hiburan Kita: Seni yang Hilang Atau Sekadar Kejar Trending?

Dulu, hiburan adalah pantulan budaya dan suara masyarakat. Tapi hari ini? Lebih ramai kejar viral berbanding nilai. Artis Atau Algoritma?  ...